Strategi baru Kelantan: Merakyatkan Membangun Bersama Islam

Oleh: Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

Sempena genapnya setahun (pada 6 Mei 2014) kepimpinan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob memimpin Kelantan pasca Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya melancarkan Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Suatu pelan yang lahir daripada Bengkel Merakyatkan Membangun Bersama Islam pada 23-24 April 2014 yang lalu.

Apa pun pelan ini merupakan penerusan daripada 23 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam yang telah diperkukuhkan dengan misi menuju Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan semasa pilihan raya umum yang lalu. Misi ini merupakan kesinambungan daripada nilai-nilai kejayaan yang sebelum ini diungkapkan sebagai Kelantan Menerajui Perubahan bagi seluruh warga Kelantan.

Logo MMBI

Justeru pelan ’merakyatkan’ ini adalah suatu perancangan program bersepadu untuk memastikan persoalan teras cara hidup warga Kelantan agar bertambah mantap berpandukan prinsip hidup beragama (baca: Islam sebagai Ad-din). Natijahnya ke arah pengukuhan prestasi dasar Membangun Bersama Islam yang beteraskan tiga prinsip utama, iaitu ‘Ubudiah, Mas’uliah, Itqan yang perlu diteruskan bagi menggerakkan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri Kelantan.

Sehingga kini terdapat enam dasar utama Kerajaan Negeri Kelantan yang berpaksikan Membangun Bersama Islam:

1) Dasar Pentadbiran Kerajaan berteraskan Syari’at;

2) Dasar Perundangan dan Kehakiman;

3) Dasar Kebudayaan dan Kesenian;

4) Dasar Pembangunan Pendidikan;

5) Dasar Pembangunan Ekonomi, dan

6) Dasar Pembangunan Sosial.

Keenam-enam dasar utama ini telah dirangkumkan bagi memenuhi program Merakyatkan Membangun Bersama Islam. Maka pendekatan program ini adalah berkonsepkan pendidikan, iaitu melalui lima proses membangunkan modal insan:

1) Pendidikan (education);

2) Pencegahan (prevention);

3) Penguatkuasaan (enforcement);

4) Pencelahan (intervention); dan

5) Pemulihan (rehabilitation).

Kesemua konsep pendidikan ini diyakini dapat memenuhi lima aspek keutamaan berteraskan tuntutan maqasid syariah bagi menjaga dan mengawal kehidupan sejahtera, iaitu aspek Agama, Akal, Keturunan, Nyawa dan Harta .

Tujuh fokus

Justeru itu, pendekatan strategik yang diambil bagi mencapai matlamat misi Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan adalah tujuh fokus nilai teras Merakyatkan Membangun Bersama Islam: 

1) Amalan Kebersihan;

2) Menyempurnakan Solat;

3) Pembangunan Pendidikan;

4) Menyuburkan Kebudayaan dan Kesenian;

5) Menangani Gejala Sosial;

6)  Menerajui Pembangunan Ekonomi; dan

7) Penyelidikan dan Penilaian.

Fokus pertama ialah meningkatkan amalan kebersihan dengan objektifnya bagi mewujudkan Kelantan Bersih (Kelantan Go Green), melahirkan masyarakat cakna kebersihan dan amalan kebersihan sebagai budaya unggul. Tunggaknya adalah bergantung kepada keberkesanan fungsi dan operasi pihak berkuasa tempatan (majlis daerah dan majlis perbandaran).

Memandangkan solat adalah amalan keimanan sewajarnya fokus kedua yang diberikan keutamaan ialah membudayakan aktiviti solat sebagai tiang agama. Ia boleh dijayakan menerusi aktiviti yang menggalakkan amalan solat berjemaah, menyegerakan bersolat seawal waktu walau di mana berada serta meningkatkan penghayatan dengan syiar-syiar yang membantu orang ramai sentiasa mengingati solat.

Bergerak dari soal keimanan, paling popular di kalangan rakyat Kelantan adalah persoalan seni budaya dan warisan. Oleh itu, bagi misi merakyatkan persoalan ini, fokus ketiga ialah aspek hiburan yang bercirikan Islam harus dihidup-suburkan agar selari dengan sikap dan minat warga negeri.

????????????????????????????????????

Justeru aktiviti membangun dan mengembangkan permainan rakyat, seni warisan agar serasi dengan budaya rakyat yang beragama, memartabatkan seni budaya sedia ada agar mesra syariah. Malah mengambil inisatif ke arah mengkomersilkan Seni Warisan Kelantan adalah suatu agenda strategik yang menyentuh cita rasa majoriti rakyat Kelantan.

Demikian pula ke arah melahirkan budaya hidup yang berkualiti di Kelantan seharusnya dipandu oleh kualiti pendidikan rakyatnya. Kejayaan selama dua dekad yang lalu (1990-2000) adalah pendidikan bersepadu Islam-iktisas dan pengajian tahfiz al-Quran sudah menjadi sebutan di peringkat nasional.

tahfiz sains
Justeru fokus keempat ialah menjadikan Kelantan sebagai hab pendidikan Islamik dengan memajukan lagi sektor pendidikan sebagai daya tarikan yang turut mampu menjana ekonomi  negeri– Islamic Based Education (contohnya: Sekolah YIK, MTS, Pondok Moden, KIAS, pusat-pusat kuliah agama pagi Jumaat selain Medan Ilmu).

Apa pun, nilai dan mutu kehidupan sosial yang beragama akan rosak sekiranya tahap kerosakan sosialnya tidak dapat dikawal. Melihat indeks gejala sosial yang serius, maka fokus kelima program merakyatkan ini adalah kepada usaha melaksanakan program pendidikan dan pemulihan akhlak dan peribadi bagi menangani gejala sosial.

Ia boleh diperkukuhkan lagi dengan melaksanakan program pendidikan dan pencegahan gejala sosial, menganjurkan program pendidikan untuk memupuk kesedaran kehidupan sosial yang berbudaya Islamik. Termasuk juga mengambil langkah pencelahan (intervention) dan disusuli dengan program pemulihan ke atas mangsa yang terlibat. Berserta dengan usaha menjalankan aktiviti kawalan dan penguatkuasaan bagi mengatasi gejala sosial di tempat-tempat awam,

Bertolak daripada indeks sosial, fokus keenam ialah merakyatkan usaha-usaha bersifat perekonomian. Justeru langkah rasional kepimpinan Ustaz Ahmad adalah melakukan sistem aturan projek dan aktiviti ekonomi ke arah memaksimumkan pendapatan negeri.

bertani satu ibadah

Ini boleh ditumpukan dalam aspek pengurusan dan pemajuan khazanah asli yang ada (mineral, tanah dan hutan), memaksimakan pendapatan negeri menerusi usaha ‘Bertani Satu Ibadah’ dalam sektor pertanian, selain usaha yang berterusan bagi melahirkan masyarakat Usahawan Tani dan Nelayan serta Penternak yang dinamik dan inovatif. Turut diberi tumpuan ialah menambahbaik program-program memberdayakan produk barangan anjuran agensi kerajaan Negeri melalui PPWK dan IKS.

Meneruskan fokus perekonomian ialah sektor pelancongan dengan cara mengembangkan pelancongan bersepadu sebagai satu industri. Bagi tujuan ini, usaha mempromosi dan mengenalpasti lokasi dan atau produk pelancongan baru berteraskan Islamik perlu diutamakan (contoh: Medan Ilmu, kampung tradisi, pusat pengajian pondok, kekayaan alam seperti sungai, pantai dan tanah tinggi).

dataran ilmu

Selain menggarapkan produksi pelbagai cenderahati yang mempunyai nilai estatika Islamik dan keunikan budaya warga negeri dalam pelbagai artifak dan seni kreatif (contoh: design T-shirt dengan khat jawi dan kesenian batik Kelantan, barangan dan foto atau replika seperti Air Terjun Gunung Stong, Masjid Beijing dan sebagainya). Ini sesuai dengan kalendar pelancongan yang sedia ada bagi merancakkan Kelantan sebagai pusat membeli-belah waktu cuti umum yang berkonsepkan bazar rakyat.

Apa pun, penilaian terhadap prestasi program merakyatkan Membangun Bersama Islam adalah penting – boleh diukur melalui indeks kejayaan dari semasa ke semasa, maka fokus ketujuh pelan strategik merakyatkan dasar ini ialah aspek penyelidikan dan penilaian prestasi.

Kajian dan nilaian yang ditumpukan adalah dari aspek komitmen kepimpinan terutama wakil rakyat dalam memberi kerjasama dan melaksanakan tanggungjawab ke arah memacu program yang diatur oleh agensi dan pihak berwajib. Di samping kajian dan nilaian turut dibuat ke atas jentera pentadbiran kerajaan negeri di dalam memberi khidmat kepada rakyat dan meninjau sama pandangan awam atau kumpulan sasar (komuniti lokal) mengenai prestasi pentadbiran dan pengurusan kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda projek, program dan aktiviti yang dirancang.

Semoga pendekatan baru Negeri Kelantan (merakyat dasar ini) di bawah kepimpinan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob bakal mendidik rakyatnya kepada penghayatan lebih murni dan tuntas kepada cara hidup Islamik. Akhirnya ia berjaya mencapai matlamat dasar Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, kemakmuran dan kebajikan kepada seluruh warga negerinya.