Rumusan dan Cadangan Kajian Banjir 2014

Hasil kajian ini telah dibengkelkan pada 15 November 2015 di Dewan Mesyuarat JKR 10, yang telah dihadiri oleh Ketua Eksekutif Agensi Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Negeri (JPS, JKM), Pengarah Pusat Kordinasi NGO Pasca Banjir Negeri Kelantan, Pengarah Lantikan Politik, Pegawai Khas, Ketua Jajahan, Badan NGO – Yayasan Amal Malaysia, Jabatan Amal, Majlis Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA), Gabungan Profesional Tuntut Royalti (R), Perakan Malaysia, dan Pembantu Penyelidik Kajian Banjir 2014.

Hasil perbincangan pandangan dan cadangan daripada responden mengenai tugasan pihak-pihak berwajib sebelum, semasa dan pasca banjir, maka rumusannya adalah seperti berikut.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta pengurusan Pusat Kajian Strategik (PKS) memisahkan antara data berpindah dengan tidak berpindah untuk maklumat yang lebih tepat.

Dimaklumkan bahawa pegawai Psikologi bagi banjir tahun lalu tidak mencukupi. Dicadangkan agar diwujudkan konsep ibadah kepada mangsa banjir dan pengasingan tempat penginapan kepada mangsa banjir dengan mengambil model unit pengurusan bencana Sarawak.

Pihak Jajahan merumuskan bahawa semasa banjir setiap badan NGO harus bekerjasama dengan pihak DO atau Penghulu Mukim sebelum melakukan tugasan. Ini akan lebih memudahkan pergerakan dan maklumat untuk mangsa banjir.

Bagi badan NGO pula, maklumat yang diperolehi daripada penelitian lapangan mendapati penduduk kebanyakannya telah bersedia untuk menghadapi banjir ketika itu.

Pihak NGO memohon pihak JKM lebih fokus ke mana halatuju untuk menghadapi banjir. Selain itu, diharapkan tidak ada mana-mana pihak mempolitikkan kerja-kerja bantuan banjir.

Diutarakan juga cadangan agar diadakan mesyuarat persediaan banjir dengan setiap wakil agensi kerajaan, swasta dan persendirian supaya tidak berlaku keciciran maklumat.

Pihak Pejabat Tanah melaporkan mengenai isu terkepung yang diviralkan oleh pihak tertentu. Isu tersebut sebenarnya tidak pernah terjadi dan ia hanya dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencari dana tambahan.

Dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tidak membuat penyelarasan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyebabkan bantuan tidak sampai pada sasaran.

NGO Perakan Malaysia mencadangkan Kerajaan Negeri bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk memberi sumbangan atau bantuan kenderaan pacuan 4X4 bagi menghadapi banjir.

Selain itu diminta pihak Kerajaan lebih bersedia untuk menghadapi banjir dan mencadangkan agar pihak diberikan bantuan rumah dalam bentuk token sebanyak RM20,000.00 kepada mangsa yang terlibat.

Juga terdapat isu dan persoalan yang timbul mengenai bantuan banjir. Pihak Perakan Malaysia juga mencadangkan agar pusat pemindahan banjir dibina atas bukit, akan tetapi berlaku risiko jika tiada banjir besar kerana ia akan menjadi satu pembaziran.

NGO (R) mencadangkan agar pihak Kerajaan dapat menyediakan peralatan bot-bot yang lebih berkuasa tinggi bagi memudahkan pergerakan bantuan kepada mangsa banjir.

Selain itu, cadangan agar pusat pemindahan dilengkapi dengan alatan dan kelengkapan memasak. Cadangan yang sama telah diutarakan oleh pihak wakil Urusetia Penghulu.

Urusetia Penghulu mengharapkan agar pihak kerajaan mengurangkan birokrasi terhadap pengurusan banjir. Ia juga memohon agar barang-barang keperluan banjir dihantar awal oleh pihak JKM ke pejabat Pegawai Daerah.

Selain itu dicadangkan agar NGO mewujudkan koordinasi dengan Pejabat Tanah atau terus berhubung dengan DO bagi melaksanakan urusan sumbangan banjir.

Pihak Yayasan Amal mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil maklumat tempat atau lokasi pemindahan banjir yang akan digazetkan oleh JKM.

Cadangan juga dibuat supaya pihak Kerajaan Negeri menyenaraikan badan-badan NGO yang boleh menjadi partner bagi urusan banjir akan datang.

Selain itu, dicadangkan juga agar pihak yang terlibat dengan dapur rakyat mengenal pasti kawasan atau tempat yang sesuai untuk beroperasi serta memastikan peralatan atau bekalan makanan sampai lebih awal.

Pihak JKR dicadangkan supaya meletakkan tanda jalan di kawasan yang ditengelami air. Cadangan tambahan daripada Jabatan Amal Malaysia adalah agar dapur rakyat diberi peruntukan sebanyak RM3,000.00 dan mempunyai petugas sepenuh masa.

Dan yang terakhir Jabatan Metreodologi diharap dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan awal supaya langkah dan perancangan dapat dilakukan oleh pihak-pihak yang terlibat dengan lebih awal.

Keseluruhan cadangan dan rumusan yang dikumpulkan, maka kajian ini merumuskan :

1. Kordinasi yang mantap harus dilakukan sebelum, semasa dan pasca banjir antara pihak yang terlibat dengan urusan bencana ini.

2. Pihak yang bertanggungjawab di pengkalan hadapan dan pusat pemindahan iaitu Ketua-ketua jajahan, dan JKM hendaklah bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO iaitu Yayasan Amal Malaysia, Jabatan Amal, Royali, Perakan Malaysia, Mesra dan lain-lain dapat berperanan dengan sewajarnya.

3. Bagi memastikan keberkesanan di dalam pengurusan sebelum, semasa dan pasca banjir, pihak Kerajaan Negeri dan Persekutuan seharusnya tidak mempolitikan perancangan demi kebaikan semua pihak. Terakhir, pihak NGO pula perlu mengambil langkah serius untuk memperkasakan misi bantuan kepada penduduk terlibat banjir, terutama semasa dan pasca banjir.

Disediakan oleh:
Pusat Kajian Strategik (PKS)